Sabtu, 5 September 2015

PENGENALAN

Pendidikan merupakan aset penting kepada semua individu dan aspek penting dalam pembangunan sesebuah negara. Pembangunan modal insan menjadi tonggak kepada kejayaan sesebuah negara. Untuk membentuk manusia yang seimbang dalam menghadapi kesan globalisasi memerlukan kepimpinan yang sesuai dengan keperluan semasa. Modal insan yang perlu dibangunkan perlu seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Justeru, keupayaan guru menguruskan segala tugasan dan tanggungjawab tanpa sebarang tekanan merupakan asas kepada pembangunan murid menerusi proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan di dalam kelas. Tanggungjawab guru yang kian mencabar bukan sahaja dari dunia pendidikan itu sendiri tetapi juga dari masyarakat yang meletakkan tanggungjawab yang tinggi kepada pihak sekolah dan guru-guru khasnya. Kestabilan emosi amat diperlukan untuk mengelakkan sebarang tekanan dalam melaksanakan segala tanggungjawab yang diamanahkan.

Perkembangan semasa kini memerlukan KPM memberikan tumpuan kepada usaha untuk memantapkan kualiti guru dan meningkatkan keupayaan kepimpinan sekolah untuk muncul sebagai pemimpin pengajaran dan pembelajaran yang berkesan (effective instructional leaders). KPM perlu menyediakan pelbagai bentuk latihan dan program pembangunan profesionalisme guru dan pemimpin sekolah. Latihan ini termasuklah program sabatikal dan attachment guru serta pemimpin sekolah dengan institusi-institusi pendidikan ternama di dalam dan luar negara. Program ini memberi peluang kepada guru-guru dan pemimpin untuk memperkaya pengetahuan dan menimba pengalaman baru bagi meningkatkan mutu pengajaran pembelajaran dan secara langsung berupaya menangani sebarang tekanan dalam menjalankan tugas harian yang kian mencabar.

Guru-guru juga akan menerima bimbingan berterusan di sekolah melalui program perkongsian amalan terbaik oleh guru-guru cemerlang. Di samping itu, para Pengetua dan Guru Besar juga akan memainkan peranan penting dalam membimbing guru-guru memperbaiki mutu pengajaran dan pembelajaran secara hands-on dan berjaya menghadapi sebarang cabaran untuk menjadi guru yang profesional. Tugas utama bukan sekadar menguruskan kelas, tetapi menyediakan bimbingan kepada murid dalam segala aspek pembelajaran supaya memperoleh pencapaian terbaik dalam bidang akademik. Sehubungan dengan itu, segala bentuk tekanan, sama ada dari murid sendiri, ibu bapa, pengurusan sekolah dan perkembangan semasa tidak seharusnya dijadikan alasan oleh guru untuk mengabaikan segala tanggungjawab yang tergalas di bahu mereka.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan